Tanggal
15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh
semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik
hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam
secara keseluruhannya.
Pada tarikh tersebut, penubuhan negara
haram Israel di atas bumi Palestin telah diisyhtiharkan secara rasminya.
Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai “nakbah”. Nakbah bermaksud
malapetaka atau bencana besar.
Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah
bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat
Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta) ke
luar negara, manakala 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang
ditakluki mereka.
Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat
Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah
menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah
pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Rejim Zionis telah bertindak di luar batas
kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata
mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku
sepanjang peristiwa Nakbah.
Antaranya peristiwa yang paling tragis
ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan
seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 kanak-kanak.
Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa
Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin
dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.
Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan
Yahudi bermula apabila Britain melalui setiausaha negara hal-ehwal
luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2
November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanahair di
Palestin.
Pengisytiharan itu telah digelar ‘Ominous Declaration’ (Pengisytiharan Celaka).
Palestin menjadi isu antarabangsa apabila
kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan
Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah
Jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat
laporan mengenai isu Palestin.
Cadangan dasar jawatankuasa ini adalah
pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab
dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitul Maqdis) diletakkan
bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri
bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi
boneka kepada Yahudi.
Penderitaan yang dialami oleh penduduk
palestin hingga kini masih belum berakhir walau mereka telah mencuba
pelbagai cara dalam usaha untuk membebaskan bumi Palestin dan
mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci
tersebut.
Antaranya, dengan melalui perjanjian damai,
persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan
oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemua cara ini telah menemui
kegagalan.
Oleh kerana semua cara ini tidak berhasil,
maka rakyat Palestin telah memilih jalan lain untuk merungkai
permasalahan yang menimpa mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan
dan perjuangan jihad.
Dalam usaha membebaskan negara sendiri
daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai
pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata
masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan
menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.
Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi
mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas yang sebenar
adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah
penduduk asal bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa lagi.
Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke
Palestin bukanlah sebagai pemilik tetapi sebagai imigran pada ketika
itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.
Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah
menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka
hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin,
malahan pemerintahan mereka hanya berlangsung selama empat kurun,
sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636 M – 1917
M).
Ramai daripada Yahudi juga suatu ketika
dahulu telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengan tanah itu
terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M hingga 20M).
Manakala penduduk asal Palestin pula tidak
pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4,500 tahun hinggalah
kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun
1948.
Namun mereka tidak pernah menyerah kalah, malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.
Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk
Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia.
Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan
hadis – ia adalah bumi suci tempat ramai para rasul dilahirkan dan
wafat di sana.
Ia juga medan perjuangan mereka untuk
menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh
Allah dengan kewujudan masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping menjadi
kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan
tanah suci ketiga setelah Makkah dan Madinah.
Rasulullah bersabda, “diutamakan
(digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu
solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitul Maqdis
dengan lima ratus solat” (hadis riwayat at-Tabrani, martabat hassan).
Selain itu, Baitul Maqdis merupakan kiblat
umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan masjid itu di sepanjang
kehidupan Rasulullah di Mekah sebelum berhijrah dan juga selama 16 bulan
pertama baginda di Madinah. Selepas itu Allah mengarahkan agar kiblat
bertukar ke arah Kaabah di Mekah.
Baitul Maqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.
Firman Allah: Maha Suci Allah yang telah
menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke
Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya untuk memperlihatkan
kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami (al-Isra’: 1)
Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam
al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah yang menggambarkan keistimewaan
Baitul Maqdis. Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya yang
menyebabkan para sahabat Rasulullah sangat menyayangi bumi Palestin.
Malah ketika Umar al-Khattab menjejakkan
kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan
bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah merupakan waqaf kepada generasi
umat Islam akan datang.
Realitinya, umat Islam pernah menguasai
Baitul Maqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas
ia dicemari tangan-tangan kufar berkurun lamanya. Kini, Baitul Maqdis
kembali ke tangan kufar, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke
tangan umat Islam?
Sesungguhnya Palestin bukanlah milik
orang-orang Palestin sahaja, Baitul Maqdis bukanlah tempat suci mereka
sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum
muslimin dari timur sampai ke barat.
Ia juga milik umat Islam generasi kini dan
akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk
membebaskannya daripada tangan-tangan kufar adalah perjuangan kita
bersama.
(Diambil dari Haluan Palestin)
No comments:
Post a Comment